Waalaikummussalam warahmatullah wabarakatuh
Athar ini thabit dalam al-Musannaf li Ibn Abi Shaybah no. 5612 (1/487). Berikut adalah athar yang dimaksudkan:
Maksud: "Telah menceritakan kepada kami Abu al-Ahwas daripada 'Ata' bin al-Sa'ib berkata: Aku telah menunaikan solat Subuh di masjid ini pada hari Aidilfitri. Tiba-tiba (aku melihat) Abu ‘Abd al-Rahman dan ‘Abd Allah bin Ma‘qil. Setelah kami selesai menunaikan solat, mereka berdua keluar, dan aku pun keluar bersama mereka menuju ke al-jabbanah."
Jawapan kepada persoalan saudara, saya jawab melalui TUJUH persoalan berikut:
PERTAMA:
APAKAH STATUS ATHAR INI?
= Athar ini dari aspek sanadnya adalah sahih.
KEDUA:
APA SEBENARNYA MASALAH DENGAN PENUKILAN ATHAR INI?
= Silap dalam tafsiran, tidak faham konteks athar dan mempraktikkan penukilan hadith tanpa disiplin ilmu.
KETIGA:
NAK MENUKIL PUN PERLU DISIPLIN KE?
= Apabila kita ingin menukil hadith para ulama, fahami manhaj penulisannya, paling kurang, kita kena kenal pasti, hadith tersebut diletakkan dalam bab apa contohnya. Jika kita perhatikan pada periwayatan Ibn Abi Shaybah, beliau meriwayatkan hadith tersebut pada bab السَّاعَةُ الَّتِي يَتَوَجَّهُ فِيهَا إِلَى الْعِيدِ أَيَّةُ سَاعَةٍ؟ (Waktu (atau saat) manakah seseorang itu keluar menuju solat Hari Raya?).
Berdasarkan poster yang diberi, penukil tersebut memahami perkataan al-jabbanah sebagai tanah perkuburan. Namun, apakah kaitan antara bab athar Ibn Abi Shaybah dengan al-jabbanah yang difahami sebagai tanah perkuburan dalam hal ini?
KEEMPAT:
APA MAKSUD AL-JABBANAH DALAM KONTEKS ATHAR INI?
= Ibn Manzur dalam Lisan al-'Arab 13/85 mentakrifkan al-jabbanah seperti berikut:
Maksud: "Al-jabbān dan al-jabbānah, dengan tasydid, bermaksud padang pasir (kawasan lapang). Dan kedua-duanya juga digunakan untuk menamakan kawasan perkuburan, kerana ia biasanya terletak di kawasan padang pasir, iaitu penamaan sesuatu berdasarkan tempatnya.”
Kemudian Ibn Manzur menukil kalam Ibn Shumayl yang mengatakan al-jabbanah adalah tanah yang rata dan licin, tidak terdapat padanya pokok. Ia didapati pada tanah yang keras atau Kawasan yang merekah. Setiap tanah lapang adalah jabbanah.
Dari aspek Bahasa, jelas menunjukkan bahawa al-jabbanah boleh jadi merujuk pada tanah lapang dan boleh jadi merujuk pada tanah perkuburan.
Oleh itu, menjadi satu keperluan untuk kita merujuk takrifan serta cara penggunaan istilah al-jabbanah oleh para ulama khususnya pada konteks Hari Raya.
KELIMA:
BAGAIMANA PARA ULAMA MENGGUNAKAN PERKATAAN AL-JABBANAH DALAM KONTEKS HARI RAYA?
= Memandangkan penduduk Malaysia bermazhab al-Shafi'i, maka saya terhadkan carian penggunaan perkataan al-jabbanah dalam kalangan ulama al-Shafi'iyyah. Pada jawapan yang ringkas ini, saya selitkan kalam Imam al-Haramayn (w. 478 H) dalam Nihayah al-Matlab (2/480):
Maksud: "Adapun solat Hari Raya, akan datang penjelasan bahawa yang lebih utama ialah keluar menunaikannya di al-jabbanah."
Demikian juga (2/612):
Maksud: "Dan Rasulullah sallahu 'alayh wa sallam menunaikan solat Hari Raya di Madinah di al-jabbanah."
Pentahkik kitab iaitu Dr. 'Abd al-'Azim dalam nota kakinya menyatakan bahawa perkataan al-jabbanah yang digunakan oleh Imam al-Haramayn dalam konteks ayat-ayat ini merujuk kepada tanah lapang, bukan perkuburan.
Di sini jelas, bahawa perkataan al-jabbanah dalam konteks Hari Raya digunakan oleh ahli ilmu untuk merujuk pada kawasan lapang yang akan didirikan solat 'Id, bukan Kawasan perkuburan, walaupun al-jabbanah boleh merujuk padanya. Persoalannya, kenapa solat 'Id di tanah lapang? Kenapa bukan masjid?
KEENAM:
DI MANAKAH AL-SALAF AL-SALIH MELAKSANAKAN SOLAT 'ID?
= Bagi yang mengetahui, mencintai dan mengikuti sunnah baginda dan para Sahabat, mereka pasti ambil maklum bahawa baginda dan generasi al-Salaf al-Salih menunaikan solat 'Id di tanah lapang, bukan masjid. Perhatikan hadith Abu Sa'id al-Khudri berikut:
Maksud: "Rasulullah sallahu 'alayh wa sallam kebiasaannya keluar pada hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha menuju ke tanah lapang."
(HR. Al-Bukhari dalam Sahihnya no. 956)
Berdasarkan hadith ini, al-Nawawi (w. 676 H) menegaskan bahawa hadith ini merupakan dalil sunnah untuk melaksanakan solat 'Id di tanah lapang, ia lebih afdal berbanding di masjid. Inilah yang dipraktikkan oleh umat Islam di banyak tempat sejak dahulu.
Berdasarkan persoalan yang PERTAMA hingga KEENAM ini, jelas menunjukkan bahawa destinasi yang ditujui oleh 'Ata', Abu 'Abd al-Rahman & 'Abd Allah bin Ma'qil dalam athar riwayat Ibn Abi Shaybah tersebut merujuk pada tanah lapang yang akan didirikan padanya solat 'Id, bukan tanah perkuburan.
KETUJUH:
BOLEHKAH MENZIARAHI KUBUR KHUSUS PADA HARI RAYA?
= Menziarahi kubur adalah sesuatu yang disyariatkan pada situasi berikut:
a. Mengingati mati
b. Memberi salam, mendoakan & memohon keampunan untuk ahli kubur.
Kedua-dua hal ini disyariatkan berdasarkan dalil al-Quran & al-Sunnah dan amalan generasi al-Salaf al-Salih yang thabit serta difahami dengan lurus.
Adapun selain daripada kedua hal tersebut, maka ia termasuk dalam kategori bid'ah dalam agama. Ia tercela dan tertolak.
KESIMPULAN:
Athar ini tidak bermasalah secara umumnya. Akan tetapi, ia disalahfahami serta disalahpakai oleh pihak yang mempunyai kecenderungan untuk membela akidah atau amalan yang sudah mandarah daging dalam diri atau masyarakat.
Saya menyeru agar kita semua berhati-hati dengan pendakwah yang menjadikan dalil al-Quran & al-Sunnah serta amalan para al-Salaf al-Salih sebagai dalih untuk menghalalkan syirik, bid'ah dan maksiat.
Allah al-Musta'an.
ABU MUSLIM SYIMIR ASYRAAF BIN EDDIE HALIM
(FELO UTAMA/FELO KANAN HADITH & AKIDAH)
Rujukan:
Ibn Abi Shaybah, Abu Bakr. (1409 H). Al-Kitab al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar. Riyadh: Maktabah al-Rushd.
Ibn Manzur, Jamal al-Din. (1414 H). Lisan al-'Arab. Beirut: Dar Sadir.
Imam al-Haramayn, Abu al-Ma'ali. (2007). Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Madhdhhab. t.t.p.: Dar al-Minhaj.
Al-Nawawi, Abu Zakariyyah. (1392 H). Al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi.
'Abd al-Karim, Nasir. (1412 H). Mujmal Usul Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah fi al-'Aqidah. Kaherah: Dar al-Safwah li al-Nashr wa al-Tawzi'.