KEPUTUSAN:
Barisan Felo memutuskan tidak ada dalil khusus yang mewajibkan golongan suami memberi pakaian baharu setiap enam bulan kepada golongan isteri.
Nombor Siri Mawqif:
MM/01/9 (04/04/26)
Penjelasan:
Tidak ada dalil al-Quran atau al-Sunnah yang khusus perihal persoalan yang diutarakan ini. Berdasarkan al-Mu‘jam al-Wasit, al-nafaqah bermakna segala yang dibelanjakan seperti wang dan seumpamanya, serta bekalan. Ia juga merujuk kepada sesuatu yang diwajibkan ke atas suami terhadap isterinya daripada harta, makanan, pakaian, tempat tinggal, penjagaan dan lain-lain. Antara dalil-dalil yang menjelaskan kewajipan menyampaikan nakfkah ini adalah seperti berikut:
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksud: “Hendaklah orang yang mempunyai kelapangan (rezeki) membelanjakan menurut kelapangannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia membelanjakan daripada apa yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang telah diberikan-Nya. Allah kelak akan mengadakan selepas kesempitan itu suatu kemudahan.”
(QS Talaq: 7)
Dalil dari al-Sunnah pula adalah hadith daripada Jabir bin ‘Abd Allah yang mengatakan baginda ﷺ bersabda:
فَاتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ، فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksud: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah dalam urusan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah daripada Allah, dan kamu telah menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah (akad yang sah). Dan bagi kamu ke atas mereka ialah agar mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu tidak sukai untuk berada di tempat tidur kamu. Sekiranya mereka melakukan demikian, maka hendaklah kamu menegur mereka dengan pukulan yang tidak memudaratkan (tidak mencederakan). Dan bagi mereka pula ke atas kamu ialah hak untuk mendapatkan rezeki (nafkah) dan pakaian dengan cara yang makruf (sepatutnya).”
(HR. Muslim dalam al-Sahih no. 1218)
Adapun berkenaan kekerapan pemberian pakaian kepada isteri, hal ini adalah bergantung kepada ‘urf (kebiasaan) setempat. Walau bagaimanapun, hendaklah suami memastikan bahawa pakaian yang disediakan adalah mencukupi mengikut keperluan, sesuai dengan keadaan, serta tidak membawa kepada pembaziran.
Cadangan:
Barisan Felo mencadangkan agar umat Islam mengamalkan kehidupan yang bersederhana, khususnya dalam aspek pemakaian. Pembaziran hendaklah dielakkan, dan setiap pakaian yang dimiliki wajar dimanfaatkan secara optimum selaras dengan prinsip kesederhanaan dan tuntutan syarak.
RESOLUSI MESYUARAT MAWQIF BIL. 01
4 APRIL 2026