Jawapan Penuh

DERMA DARAH KETIKA BERPUASA, BATAL ATAU TIDAK

Kategori: Fiqh 08 Apr 2026 · 10:33 PM

KEPUTUSAN:

Barisan Felo memutuskan bahawa menderma darah ketika berpuasa tidak membatalkan puasa. Namun, penderma hendaklah mengambil kira tahap kesihatan dan memastikan kekuatan untuk terus berpuasa tetap ada. Sekiranya tindakan tersebut memudaratkan diri, ia termasuk skop perkara yang ditegah oleh syarak.

 

Nombor Siri Mawqif:

MM/01/7 (04/04/26)

 

Penjelasan:

Isu menderma darah merupakan masalah kontemporer dan kebiasaannya ahli ilmu menyamakan hukumnya dengan hukum berbekam. Ahli ilmu berbeza pendapat mengenai hukum berbekam buat orang yang berpuasa wajib:


a.      Pendapat pertama: Puasanya batal

Ahli ilmu yang berpendapat sebegini, kerana mereka berpegang dengan hadith berikut:

أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ

Maksudnya: “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam”.

(HR. Ibn Majah dalam al-Sunan no. 1679)

 

Hadis ini dinilai sebagai mawqūf oleh Yahya ibn Ma'in dan bukan marfū‘. Walau bagaimanapun, ahli ilmu yang berpegang dengan hadith ini melakukan qiyas antara bekam dan keadaan seseorang yang menderma darah. Berdasarkan pendekatan ini, mereka berpendapat bahawa perbuatan menderma darah boleh membatalkan puasa kerana diqiyaskan dengan bekam.


b.     Pendapat kedua: Puasanya tidak batal

Ini adalah pendapat jumhur ulama. Golongan ini berhujah dengan hadith berikut:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ صَائِمٌ

Maksud: “Rasulullah ﷺ telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa.”

(HR Al-Bukhari dalam al-Sahih no. 1939)

 

Golongan ini berpendapat bahawa hadith riwayat Ibn Majah yang menyatakan batalnya puasa bagi orang yang berbekam adalah mansukh. Wa Allah a‘lam.


Sehubungan itu, Barisan Felo cenderung untuk berpegang dengan pandangan jumhur ulama yang berpendapat bahawa perbuatan menderma darah ketika berpuasa tidak membatalkan puasa. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut hendaklah dilakukan dengan mengambil kira tahap kesihatan individu, serta tidak membawa kepada kemudaratan atau melemahkan tubuh sehingga menjejaskan ibadah puasa.


Cadangan:

Barisan Felo menyarankan agar umat Islam yang berhasrat untuk menderma darah melaksanakannya pada waktu berbuka puasa. Hal ini adalah lebih afdal sebagai langkah berhati-hati dalam memelihara kesempurnaan ibadah puasa serta mengelakkan sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan keadaan tubuh badan sepanjang berpuasa.


RESOLUSI MESYUARAT MAWQIF BIL. 01

4 APRIL 2026