Alhamdulillah Allahumma Salli 'ala Muhammad wa 'ala Ali Muhammad. Pertama, syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam hal ehwal ibadah, ketuhanan-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Allah berfirman: إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا Maksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah (berbuat syirik), maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” [An-Nisaa/4: 48] Selain itu, dosa syirik menyebabkan pahala kesemuanya dihapus, diharamkan syurga buatnya dan halal darah serta hartanya. Kedua, pentingnya untuk merujuk agamawan yang thiqah Menjadi kewajiban seorang muslim untuk mempelajari atau merujuk hal ehwal agama kepada seseorang yang diiktiraf keilmuannya. Ketahuilah, boleh berbahasa Arab, berkhutbah, bekerja di Jabatan Agama dan memakai pakaian ala ustaz belum tentu sahih pegangan agamanya. Jadikan Al-Quran dan al-Sunnah sesuai kefahaman para Sahabat sebagai tolak ukur untuk menilai apakah yang diajarkan oleh seseorang yang bergelar Ustaz tersebut benar ataupun tidak. Ketiga, seseorang hanya dibebani dengan dosanya tersendiri Allah berfirman: وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” (QS Fatir: 18) Anda tidak akan memikul dosa orang lain yang berbuat dosa. Dosa anda adalah dosa anda, doa dia adalah dosa dia. Namun, anda tetap bertanggungjawab untuk menasihati golongan yang khianat ini. Sekiranya anda tidak menasihati, maka ia adalah dosa kerana tidak melaksanakan amar ma'ruf nahi munkar. Kesimpulan, amar ma'ruf nahi munkar Amar ma'ruf (mengajak kepada yang baik) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran) adalah kewajipan setiap yang bergelar sebagai muslim. Dalam konteks anda, wajib untuk anda menasihati dengan hikmah seseorang yang memerlukannya. Wajib untuk mencegah perbuatan syirik/maksiat/bid'ahnya menggunakan tangan atau kuasa, lisan atau jika tidak mampu, paling kurang adalah dengan membenci perbuatan tersebut dengan hati. Ketahuilah, anda tidak terjebak dengan dosa tersebut kecuali jika anda mengikuti jejak langkah Ustaz tersebut. Berhati-hatilah dalam memilih agamawan sebagai pembimbing. Wa Allah A'lam. Rujukan: Kitab al-Tawhid & al-Da' wa al-Dawa' Penulis: Ustadh Abu Muslim Syimir Asyraaf (Calon PhD Hadith, USM)